[VIDEO] Peluang perniagaan di Malakat Mall masih dibuka

0
574
Istighfar Hamidon

RAUDHAH CITY – Usahawan bumiputera kecil dan sederhana dipelawa untuk merebut peluang perniagaan di pusat beli belah berkonsepkan Islam pertama di Malaysia, Malakat Mall.

Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Istighfar Hamidon berkata, peluang untuk membuka premis perniagaan dan memasarkan produk melalui pasar raya Raudhah Grocer masih dibuka.

Bagaimanapun katanya, peluang untuk mengisi rak-rak ‘terakhir’ di pasar raya utama dalam Malakat Mall itu masih dibuka sementara senarai produk yang diperlukan masih belum penuh.

“Ada beberapa kategori peluang antaranya menjadi pembekal produk,
menyewa lot perniagaan atau memulakan perniagaan dalam bidang makanan.

“Bagaimanapun lebih banyak peluang ditawarkan kepada usahawan di seluruh negara apabila Malakat Mall melebarkan sayap perniagaan ke cawangan kedua iaitu di Masjid Tanah, Melaka,” katanya

Istighfar berkata, hari bertemu vendor itu diadakan pada setiap Khamis dengan taklimat oleh Pengasas Malakat Mall sendiri iaitu Coach Mohd. Fadzil Hashim dan pengurus-pengurus jenama (Champion) yang ada di Malakat Mall.

“Alhamdulillah setiap kali kami anjurkan sesi seperti ini, lebih daripada 100 usahawan datang untuk melihat operasi dan potensi yang ada di pusat beli-belah ini,” katanya.

Sementara itu, pelakon Shahrizan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Abon berkata, beliau baharu sahaja menyertai usaha memperkasakan ekonomi umat Islam dengan memasarkan dua produk keluarannya iaitu Roti Abon dan Air Sihulk.

Katanya, selepas melihat sendiri kejayaan Malakat Mall yang menghimpunkan lebih 3,000 produk usahawan bumiputera, beliau yakin model perniagaan itu akan berjaya.

“Saya rasa inilah peluang yang diberikan dan perlu direbut oleh usahawan Islam untuk sama-sama menyokong usaha yang luar biasa ini.

“Seperti kata slogan Malakat Mall, pusat beli belah ini kita semua yang punya dengan syarat mendaftar sebagai ahli di Koperasi Persatuan Pengguna Islam Koppim,” katanya.

Roti keluaran Abon.
Minuman kesihatan yang dipasarkan oleh Abon di Malakat Mall.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here