Pengusaha tadika perlu bincang dengan ibu bapa untuk kenaikan yuran

0
167

KUALA LUMPUR – Pengusaha taman didikan kanak-kanak (tadika) perlu berbincang dengan ibu bapa terlebih dahulu, sekiranya mahu menaikkan kadar yuran pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM) Eveleen Khoo berkata, tindakan itu perlu bagi mendapatkan persetujuan ibu bapa supaya tidak wujud ketidakpuasan hati dan mereka bersedia sewajarnya, jika pihak tadika ingin menaikkan kadar yuran secara tiba-tiba.

Tidak menolak kemungkinan sesetengah tadika terpaksa menaikkan kadar yuran, bagi menampung peningkatan kos menyediakan keperluan pencegahan Covid-19, namun beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklumat atau aduan ibu bapa berkenaan isu itu.

“Mungkin pengusaha perlu membeli pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, selain perlu menyediakan makanan kepada murid-murid bagi tadika yang tidak membenarkan mereka membawa makanan daripada rumah masing-masing.

“Hanya Kementerian Pendidikan (KPM) yang boleh meluluskan sama ada yuran itu boleh naik atau tidak, tadika (yang berdaftar dengan KPM) tidak boleh sesuka hati naikkan yuran, perlu melalui KPM dan Jawatankuasa Institusi Pendidikan Swasta,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Jidin ketika ditanya mengenai hal berkaitan yuran tadika pada sidang medianya di Putrajaya, berkata : “Ini kali pertama saya dengar, saya akan mendapatkan maklumat mengenainya.”

Prasekolah, taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman didikan kanak-kanak (tadika), dibuka kembali di seluruh negara mulai hari ini, selepas lebih tiga bulan ditutup susulan pandemik Covid-19.

Dilaporkan hari ini terdapat sebilangan pengusaha tadika didakwa menaikkan kadar yuran antara 10 hingga 15 peratus, dengan alasan perlu menampung peningkatan kos kesan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), selain jumlah pelajar yang semakin berkurangan.

Sependapat dengan Eveleen, Pengerusi Pertubuhan Penggalak Membaca Malaysia (PPMM) Chahaya Abdul Manan berkata, pengusaha tadika perlu terlebih dahulu merancang sesi pembelajaran sebelum membuat keputusan menaikkan yuran.

“Mereka boleh menjalankan dua sesi pembelajaran misalnya, sebilangan murid di sebelah pagi dan selebihnya boleh dibuat pada waktu petang, jadi mungkin mereka tak perlu naikkan yuran, ia bergantung kepada penyelesaian pengusaha sendiri.

“Namun, kalau pengusaha dah fikir tapi masih tak dapat cara untuk tampung kos, mereka terpaksa juga naikkan yuran memandangkan kos operasi tadika yang tinggi selain membayar kos sewa dan gaji guru,” katanya.

Chahaya berkata, tidak mustahil ada sesetengah ibu bapa akan menukar anak mereka ke tadika lain, susulan terbeban dengan kenaikan yuran di tadika sedia ada.

Meluahkan kebimbangannya beliau berkata, keadaan itu mungkin akan mempengaruhi emosi anak-anak kerana perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Bagaimanapun, rata-rata pengurusan tadika memaklumkan tidak mengambil langkah itu, malah ada juga premis yang menawarkan potongan harga yuran bagi membantu ibu bapa yang terbeban, dengan impak pandemik itu.

Guru besar sebuah tadika di Keramat, di sini, Salmiah Jusoh berkata, setakat ini yuran yang dikenakan di premisnya masih sama sebagaimana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan 18 Mac lepas.

Mengakui berdepan sedikit kesukaran, namun pihaknya cuba bertahan tanpa menambah bebanan kepada ibu bapa, dengan cara mengurangkan sedikit bayaran gaji guru di tadika itu.

“Sekiranya memang kita tak dapat nak tampung, baru kita akan ada berbincang dengan ibu bapa sama ada perlu atau tidak, untuk meminta tambahan yuran,” katanya.

Seorang ibu Yasmin Ahmad, 33, berkata, tiada kenaikan yuran dikenakan pihak tadika tempat anaknya belajar, sebaliknya ibu bapa diberikan diskaun 20 peratus, dengan tujuan membantu meringankan beban kewangan.

“Diskaun ini diberikan untuk bayaran penggal ini dan saya rasa tidak wajar kalau tadika menaikkan yuran, sebab sewaktu PKP pun ibu bapa masih membayar yuran penuh,” kata ibu kepada seorang anak perempuan yang memulakan sesi pembelajaran hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here