PKPP: Perbarisan sempena Hari Kebangsaan tidak dibenarkan

0
290
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Acara perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang jatuh pada hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos ini tidak dibenarkan diadakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana sukar untuk mengawal penjarakan sosial bukan saja dalam kalangan peserta perarakan malah antara pengunjung.

“Kalau kita lihat, perbarisan itu, ia perhimpunan yang besar. Saya rasa ia membabitkan beribu-ribu (rakyat). Yang kedua, dari segi penjarakan sosial, tidak ada ketika perbarisan. Bukan saja oleh peserta perbarisan, tetapi saya rasa penonton yang hadir juga tidak ada penjarakan sosial.

“Kalau di kerusi orang kenamaan dan tempat yang dikhaskan mungkin boleh dikawal tapi orang ramai pun datang sendiri, kalau di Dataran Merdeka, berada di tepi jalan dan sebagainya.

“Mereka akan berhimpit-himpit dan sukar dikawal. Setakat ini tiada perarakan lagi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara perbarisan tetapi turut mempunyai program pengisian lain seperti pelancaran Bulan Kemerdekaan dan mengibar Jalur Gemilang.

Sehubungan itu, katanya, perincian mengenai sambutan Hari Kebangsaan akan diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here