Raja Muda Selangor terima sumbangan bina Kompleks Anak Yatim YIDE

0
271
Raja Muda Selangor (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada CSR

CYBERJAYA – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mencemar duli menerima sumbangan aktiviti kebajikan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) daripada lima syarikat korporat dan agensi berkaitan kerajaan.

Menurut Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd. Razali Abdullah, dalam majlis yang diadakan di Istana Mestika Shah Alam itu, Central Sugars Refinery (CSR) Sdn. Bhd. menyumbang sebanyak RM1.3 juta bagi pembinaan surau di Kompleks Anak Yatim Pulau Indah.

Katanya, empat syarikat lain yang menyumbang adalah Worldwide Holdings Berhad yang menyumbang RM45,000 diikuti Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) yang menyumbang RM36,600

“Di samping itu, syarikat telekomunikasi terkemuka negara, Celcom Axiata Berhad menyumbang RM50,000 dan Aiman Platinum Sdn Bhd menyampaikan sumbangan RM41,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, secara keseluruhan sumbangan tersebut berjumlah sebanyak RM1.55 juta.

Katanya, pihak YIDE amat berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan dan sangat mengalu-alukan sumbangan di peringkat korporat mahupun agensi berkaitan kerajaan untuk sama-sama menjayakan pembinaan Kompleks Anak Yatim Pulau Indah.

“Pembinaan Kompleks Anak Yatim ini adalah usahasama dengan Central Spectrum Sdn Bhd dan Perbadanan Wakaf Selangor yang sehingga kini telah mengumpul sebanyak RM6.3 juta dan masih memerlukan RM3.7 juta,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan YIDE turut menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Ramadhan yang lalu kepada anak yatim yang berdaftar dengan peruntukan sebanyak RM742,000.

Katanya, agihan pada tahun ini untuk Tabung Dana Infaq Anak Yatim diberikan melibatkan sembilan daerah di Selangor iaitu Klang seramai 1,288 orang, Petaling (1,267), Sabak Bernam (400), Kuala Selangor (763), Hulu Langat (1,179), Sepang (330), Gombak (1,121), Hulu Selangor (543) dan Kuala Langat (529).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here