Warga asing dari Pakistan bawa pulang Covid-19 ke Kelantan

0
607
Dr. Izani

CYBERJAYA – Kelantan kembali dikategorikan sebagai zon kuning apabila terdapat satu kes positif Covid-19 dilaporkan di negeri itu hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, kes baharu itu melibatkan kes import yang tiba dari Pakistan.

“Pesakit kes ini tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Julai lalu dan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah selama 14 hari sehingga 17 Julai lalu.

“Kes tidak bergejala, positif dan dimasukkan ke Hospital Tumpat,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Kira-kira sebulan selepas Kelantan dikategorikan sebagai bebas kes Covid-19 pada April lalu, negeri itu kembali mencatatkan kes apabila seorang wanita mengandung dari Kuala Lumpur disahkan positif wabak tersebut ketika pulang ke kampung halamannya di Kuala Krai.

Selepas pesakit tersebut sembuh, Kelantan tidak mencatatkan sebarang kes baharu sehinggalah hari ini.

Sementara itu, Dr. Izani meminta rakyat negeri itu menjaga kebersihan dan kesihatan diri masing-masing bagi mengelak jangkitan Covid-19.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here