Rakyat Malaysia gagal jalani kuarantin wajib sebabkan jangkitan Covid-19 pada bapanya

0
516
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Kerajaan memandang serius kegagalan seorang individu di Melaka yang tidak menjalani kuarantin wajib di biliknya sehingga menyebabkan jangkitan Covid-19 terhadap bapanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu terbabit telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) supaya menjalani kuarantin wajib di rumah selepas tiba dari luar negara.

“Kerajaan memandang serius kegagalan pematuhan SOP yang ditetapkan, seperti yang berlaku di Melaka yang mana individu yang terbabit tidak berada dalam bilik sewaktu kuarantin di rumah dan telah menjangkiti bapanya.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, KKM memaklumkan terdapat sebuah kluster baharu dikesan di Melaka berikutan terdapat kes ketiga yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua bagi kluster itu.

Kes pertama kluster itu merupakan seorang warganegara Malaysia yang juga kes ke-8,673 yang telah pulang ke Malaysia dari Rusia pada 5 Julai lalu dan didapati positif Covid-19.

Kes kedua kluster itu pula melibatkan kes ke-8,718 iaitu merupakan rakan kepada kes ke-8,673. Mereka telah menaiki pesawat yang sama namun berdasarkan keputusan saringan awal Covid-19 mendapati individu tersebut negatif.

Namun begitu, individu itu mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai lalu.

Berikutan itu, pengesanan terhadap kontak rapat telah dilakukan dan mendapati terdapat penularan jangkitan Covid-19 kepada seorang ahli keluarga daripada kes ke-8,718.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here