RM1,000 jadikan Marzukhi antara pengilang beras bumiputera terbesar di Malaysia

0
6866
GAMBAR UTUSAN MALAYSIA

KANGAR – Berbekalkan modal pusingan sebanyak RM1,000 yang diberikan oleh bapanya pada tahun 1980 bagi menjalankan perniagaan, tidak disia-siakan oleh Marzukhi Othman,62, yang kini menjadi antara pengilang beras terbesar di negara ini.

Dari sebuah kilang kecil yang diusahakan oleh bapanya, Allahyarham Othman Saad, Marzukhi melalui syarikatnya Dibuk Sdn. Bhd berjaya memperluaskan empayar perniagaan
tersebut dengan setakat ini memiliki tiga buah kilang beras di sekitar Perlis dengan penghasilan lebih 25,000 tan beras setahun.

Untuk sampai ke tahap tersebut bukan sesuatu yang mudah buat bapa kepada lima orang anak itu, kerana ia menuntut usaha keras tanpa mengenai erti putus asa sepanjang berada dalam dunia perniagaan.

Kejayaan tersebut juga sedikit sebanyak membuka pintu rezeki buat para petani, apabila setiap musim syarikatnya membeli lebih 20,000 tan padi membabitkan kira-kira 10,000 petani khususnya dari negeri ini.

“Saya masih ingat lagi, sejurus habis belajar di UPM (Universiti Putra Malaysia) saya menanam tekad untuk berniaga selain membantu ayah menguruskan kilang kecil kami (kilang beras Othman Saad dan Keluarga) di sini. Adik-beradik lain pada masa itu tidak berminat dalam perniagaan ini.

“Mula-mula nak berniaga, ayah beri modal pusingan RM1,000 (pada tahun 1980). Berbekalkan sebuah basikal buruk saya masuk kampung-kampung membeli padi daripada pesawah untuk diproses. Pada masa itu, hanya ada mesin yang boleh mengisar antara 0.4 tan sahaja dalam masa sejam selain kawasan kecil untuk proses keringkan.

“Banyak kesukaran di awal perniagaan ini. Bila kekurangan modal kita ditekan oleh para pemborong selain kesukaran mendapatkan pinjaman. Malah hendak beli padi dari pesawah ini juga sukar dengan paling banyak pun sekitar 100 tan sahaja semusim,” kata anak keempat dari lima beradik itu ketika ditemui di salah sebuah kilangnya di Kampung Behor Kulit Kerang di sini, baru-baru ini.

Tambahnya selepas beberapa tahun, dia mengumpul duit dan berjaya membuka sebuah kilang baharu yang lebih besar pada tahun 1988 selain mendaftar sebuah syarikat dengan nama Dibuk Sdn. Bhd seterusnya mula beroperasi pada tahun 1990.

Marzukhi yang merupakan Pengarah Urusan Dibuk berkata, sejak daripada itu, perniagaan terus berkembang pesat dan beliau berjaya ambil alih sebuah kilang padi milik usahawan Cina pada 2011 dan membuka sebuah lagi kilang pada tahun lalu.

Selain di sini, dua buah lagi kilang miliknya adalah di Kuala Sanglang, Arau dan Kampung Paya Besar.

“Saya sentiasa berpegang kepada pesanan arwah bapa iaitu kunci kejayaan dalam sesuatu perniagaan itu adalah amanah.

“Saya pegang pesanan ayah dan mengambil semangatnya untuk berjaya. Malah, saya juga selalu pesan kepada anak-anak serta menantu yang membantu dalam perniagaan ini,” katanya yang memaklumkan bahawa bapanya meninggal dunia pada 2014.

Dalam pada itu, Marzukhi turut berterima kasih dan merakam penghargaan kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang merupakan rakan strategik Dibuk sejak 1997.

“Bernas sentiasa memberi kepercayaan kepada saya sehingga berada pada tahap menjadi salah sebuah pengilang beras bumiputera paling besar di negara,” katanya.

Selain itu, Dibuk juga memperluaskan perniagaan dengan membuka sebuah kilang bihun selain menyediakan perkhidmatan feri kargo ke Pulau Langkawi, Kedah.

-habis-

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here