Sekolah dah nak buka, sudah periksa mata anak?

0
126
Gambar hiasan

ESOK pasti hari yang mendebarkan kepada ibu bapa apabila sesi persekolahan untuk murid Tahun 5, Tahun 6, Tingkatan 6 Semester 1, kelas peralihan serta tingkatan 1 hingga 4 akan dibuka selepas ‘bercuti’ panjang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketika membelek-belek telefon sambil mencari maklumat terkini dalam dan luar negara, penulis terhibur apabila ada ibu bapa yang ‘kalut’ mencari pakaian sekolah baharu untuk anak-anak mereka minggu lalu.

Manakan tidak, setiap hari aktiviti yang dilakukan anak-anak mereka hanya tidur dan makan. Kebanyakan masa juga dihabiskan dengan duduk di hadapan komputer, laptop dan bermain game di telefon.

Selain cerita berat badan yang bertambah, penulis juga tertarik dengan satu hantaran oleh seorang doktor pakar mata kanak-kanak, Dr. Azlindarita Aisyah Mohd. Abdullah, baru-baru ini.

Dalam hantaran tersebut Dr. Azlindarita menasihatkan ibu bapa membawa anak mereka memeriksa mata disebabkan penggunaan gajet yang banyak ketika PKP.

Katanya, jika kanak-kanak tersebut sudah memakai cermin mata, ibu bapa perlu membawa mereka untuk periksa sekali lagi kerana bimbang ‘power’ cermin mata meningkat.

“Jika anak mengadu tak nampak atau selalu pening kepala, bawa periksa mata. Mungkin ia petanda rabun.

“Jika anak masih kecil dan tidak pandai mengadu, contohnya di bawah empat tahun, tapi apabila menonton televisyen selalu telengkan kepala atau pusingkan muka, bawa periksa mata. Ia mungkin petanda rabun,” kongsinya.

Perkongsian daripada Dr. Azlindarita perlu diambil serius oleh ibu bapa kerana dalam suasana pembelajaran dalam norma baharu, sudah pasti kedudukan murid dalam kelas juga berubah.

Jika sebelum ini kedudukan murid dan papan tulis mungkin dekat tetapi dengan suasana baharu kedudukan mereka mungkin berubah lebih jauh.

Adalah sangat merugikan jika disebabkan rabun jauh menyebabkan anak-anak ini mengalami kesukaran untuk belajar. Sudahlah, tertinggal lebih empat bulan pelajaran, kini berhadapan dengan masalah rabun pula.

Oleh itu, ibu bapa yang mempunyai anak-anak dibangku sekolah terutamanya sekolah rendah perlu sentiasa peka dengan sebarang perubahan anak-anak mereka.

Tambahan pula sesi persekolahan bagi murid Tahun 1 hingga 4 hanya dibuka bermula munggu hadapan. Jadi masih ada masa untuk ibu bapa bawa anak masing-masing memeriksa mata dengan pakar mata berhampiran.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here