KKM anggap sekolah masih kawasan selamat Covid-19

0
92

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengisytiharkan bahawa sekolah sebagai kawasan selamat dan masih bebas ancaman Covid-19.

Beliau berkata, walaupun terdapat risiko Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengesan sebarang kes positif Covid-19 di kawasan sekolah sejak sesi persekolahan bersambung semula.

“Isunya sekarang di luar sekolah. Sekolah satu risiko juga, tapi kita boleh urus risiko tersebut.

“Kalau ada kes (positif) yang dikesan, kita akan ambil tindakan menutup sekolah,” katanya dalam Sesi Libat Urus Bersama Media, di sini hari ini.

Dalam pada itu Noor Hisham berkata pihaknya sedang membincangkan kaedah dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengurangkan kesesakan di luar sekolah, terutamanya selepas sesi pembelajaran tamat.

“Selepas sekolah ramai berkumpul untuk balik. Mungkin kita lihat untuk melepaskan pelajar balik secara berperingkat, bukan dalam satu masa semua keluar.

“Jadi boleh kurangkan kesesakan masa balik sekolah. Inilah tindakan kita demi kepatuhan SOP dan ia akan ditambah baik sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga sedang bekerjasama dengan KPM untuk memasukkan aspek kesihatan awam sebagai silibus pendidikan.

“Kita telah ambil tindakan untuk masukkan silibus kesihatan awam,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan vaksin Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, vaksin tersebut masih dalam peringkat kajian fasa ketiga dan Malaysia tidak dipilih untuk menjalankan kajian tersebut.

“Kebimbangan kita adalah vaksin ni berkesan atau tidak dan sama ada vaksin ada kesan sampingan atau tidak.

“Jadi kita kena lihat pada data-data kajian sebelum mengesyorkan penggunaan vaksin tersebut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here