Seminar Ayuh Bangkit cetus kebangkitan ekonomi Islam di Melaka

0
235
Coach Fadzil menyampaikan ceramah Ayuh Bangkit di Malakat Mall Masjid Tanah

MASJID TANAH – Lebih 200 peserta yang rata-ratanya terdiri daripada usahawan BMF menghadiri program Ayuh Bangkit yang pertama kali dianjurkan di bangunan Malakat Mall Masjid Tanah, Melaka hari ini.

Menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, program tersebut yang memasuki siri keenam bertujuan membangkitkan kesedaran dan semangat usahawan untuk bersatu sebagai pengguna dan pengeluar.

“Formula utama ialah untuk memperbaiki pengurusan kewangan peribadi dan menyatukan kekuatan ekonomi melalui Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

“Sasaran utama KoPPIM ialah untuk menyatukan satu juta ahli yang mencarum secara konsisten RM100 sebulan bagi membolehkan KoPPIM mempunyai dana yang akan digunakan untuk dilaburkan bagi memperkasakan ekonomi Muslim,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, program yang bermula pada pukul 9 pagi itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Sebahagian peserta yang hadir

Dalam pada itu, katanya, menerusi pelaburan strategik itu pihaknya akan membeli pusat beli belah yang ‘mati’ untuk usahawan Muslim memasarkan produk mereka.

Beliau berkata, formula tersebut telah dimulakan menerusi penubuhan pusat beli belah Malakat Mall yang pertama di Cyberjaya.

Sementara itu, beliau berkata, Malakat Mall berhasrat mewujudkan sebanyak 100 pusat beli belah dalam tempoh 10 tahun.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here