Serangan aplikasi web meningkat 42 peratus semasa tempoh Covid-19

0
160

CYBERJAYA – Serangan aplikasi web terus meningkat, naik 42 peratus tahun ke tahun sejajar dengan lonjakan trafik internet yang besar sejak bermulanya pandemik Covid-19, kata penyedia perkhidmatan rangkaian penyampaian kandungan antarabangsa, Akamai.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Akamai Tom Leighton berkata, pengguna e-dagang bergantung sepenuhnya kepada internet, menyebabkan mereka terdedah kepada serangan siber.

Beliau berkata, pada Mei 2020, serangan ke atas aplikasi web ialah sebanyak 33.7 peratus, diikuti teknologi tinggi (30.3 peratus), lain-lain (28.3 peratus) dan perkhidmatan kewangan (7.8 peratus).

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, peningkatan populariti membeli belah dalam talian yang disebabkan oleh pandemik itu telah meningkatkan serangan web.

“Serangan banyak melibatkan pencurian maklumat kad pembayaran yang digunakan semasa membuat pembelian dalam talian,” katanya pada Sidang Kemuncak Maya Akamai Edge Live APAC yang dipetik Bernama hari ini.

Leighton berkata, percubaan menyalahgunakan bukti kelayakan hampir berganda semasa separuh pertama 2020.

Pada Mei 2020 sahaja, katanya lebih daripada 300 juta percubaan log masuk berniat jahat direkodkan sehari berbanding 50 juta percubaan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Pandemik global itu telah memaksa organisasi menangani gangguan tidak dijangka dan lebih banyak bergantung kepada internet bagi kesinambungan perniagaan berbanding sebelum ini.

“Ini menyukarkan perusahaan untuk mempertahankan diri mereka sendiri kerana terlalu banyak cara untuk diserang,” katanya.

Leighton berkata, di Akamai, pakar keselamatan membuat perancangan kesediaan serangan, memantau postur keselamatan dan aktiviti serangan, antara lainnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here