Solat Jumaat, fardu 5 waktu di Selangor ikut kapasiti masjid

0
176
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Berkuat kuasa hari ini bilangan jemaah solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid dan surau di seluruh Selangor dibenarkan ditambah mengikut jumlah kapasiti sebenar premis terbabit dengan penjarakan sosial 1.5 meter.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad, kebenaran tersebut diberikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata, bagi solat Jumaat, jemaah masih perlu melalui proses pendaftaran dan penggiliran seperti mana yang ditetapkan sebelum ini.

“Sistem yang lebih cekap sedang dibuat bagi memudahkan jemaah untuk mendaftar dan menerima maklum balas kehadiran solat Jumaat.

“Bagi pelaksanaan solat lima waktu, kaedah kehadiran jemaah secara terbuka adalah dibenarkan sehingga kapasiti sebenar ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dipenuhi atau diisi.

“Bagaimanapun, kehadiran jemaah muslimat adalah tidak dibenarkan kecuali di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabililah, Cyberjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selaras dengan ketetapan baharu itu, pihak JAIS akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan jika terdapat pihak yang melanggar SOP berkenaan dan JAIS tidak akan teragak-agak menarik semula kelonggaran itu demi menjaga keselamatan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here