Tahap kecukupan sumber ikan tinggi pada 92 peratus

0
252

PUTRAJAYA – Tahap kecukupan sumber ikan dalam negara pada masa kini mencapai tahap tinggi iaitu 92.09 peratus, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, produk perikanan bernilai tinggi terutamanya hasil akuakultur juga dieksport ke luar negara seperti Singapura, China, Kesatuan Eropah, Jepun dan Australia dengan nilai eksport produk perikanan pada 2018 adalah RM3.1 bilion.

Penggunaan ikan per kapita di Malaysia pula adalah 46.9 kilogram setahun, kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Kemboja iaitu 63.2 kilogram setahun, serta lebih tinggi berbanding purata penggunaan per kapita dunia iaitu 20.5 kilogram setahun, katanya.

Justeru, kata Kiandee aspek pengurusan dan pemuliharaan sumber laut harus diberi perhatian dalam memastikan industri perikanan kekal lestari untuk menyumbang kepada pembangunan taraf hidup kumpulan sasar, menjamin keselamatan makanan serta sumbangan kepada ekonomi negara.

“Sumber perikanan jika dieksploitasi secara meluas akan mewujudkan keadaan kritikal dan kalau dibiarkan sedemikian maka sumber laut akan berkurangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perikanan dan program Fish Station, di sini hari ini.

Kiandee berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil pendekatan antaranya melaksanakan sekatan terhadap pengeluaran lesen dan penerokaan mengikut zon-zon lesen bagi memelihara sumber laut dengan baik.

“Kekayaan ini membolehkan rakyat kita menikmati makanan laut sepanjang masa dan menghayati keindahan alam semula jadi sepanjang tahun. Namun, kekayaan ini tidak akan kekal sekiranya tidak diurus dengan baik,” katanya.

Mengenai program Fish Station, Kiandee berkata program yang berkonsepkan promosi, jualan, pemadanan perniagaan, demonstrasi, pameran dan aktiviti serta inovasi produk berasaskan perikanan akan dilaksanakan di peringkat ibu pejabat Jabatan Perikanan dan negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here