Tawaran maklumat pembakar kucing dinaikkan kepada RM10,000

0
329

CYBERJAYA – Ganjaran sebanyak RM10,000 ditawarkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) kepada pemberi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan suspek insiden membakar kucing yang tular semalam.

Persatuan itu dalam satu hantaran di laman rasmi Facebooknya berkata, mana-mana individu atau kumpulan yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.

“Kami menaikkan tawaran ganjaran daripada RM3,000 kepada RM10,000 untuk mana-mana individu atau kumpulan yang boleh mengesahkan aksi bakar anak kucing dengan mencurah minyak lalu mencucuh api menggunakan pemetik api.

“Setakat ini pihak kami masih tidak mendapat maklumat lengkap dan ada yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di Pahang,” katanya.

Sehubungan itu, persatuan itu merayu agar maklumat lengkap dengan laporan polis dapat diambil sehingga pelaku berjaya ditangkap, didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membakar anak kucing itu hidup-hidup sekiranya benar kejadian dan pelaku berada di Malaysia.

Terdahulu, persatuan tersebut memuat naik satu klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan seekor anak kucing sedang dibakar dan perbuatan zalim itu dirakam sendiri oleh pelakunya.

Orang ramai digesa untuk memberikan maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-20901097.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here