Tekun Mobilepreneur 2.0 sasar bantu 500 penghantar makanan e-hailing jana pendapatan

0
258

KUALA LUMPUR – Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Mobilepreneur 2.0 menyasarkan bantuan kepada 500 penghantar makanan e-hailing dengan pembiayaan maksimum tanpa faedah berjumlah RM10,000 seorang.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peruntukan berjumlah RM5 juta itu bertujuan untuk menampung pembelian motosikal baharu dan menyediakan modal pusingan bagi penghantar makanan e-hailing yang berdaftar secara sah dengan syarikat e-hailing.


“MEDAC melalui Tekun Nasional membuka ini kepada golongan hilang pekerjaan akibat wabak Covid-19 untuk menjadi gig worker atau rider yang memainkan peranan dalam pembangunan negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Tekun Mobilepreneur di sini, hari ini.


Seramai 48 penghantar makanan e-hailing berminat menyertai Tekun Mobilepreneur 2.0 dengan lima permohonan telah diluluskan setakat ini.


Sebelum ini Tekun Mobilepreneur 1.0 yang dilancarkan pada April lalu dengan pembiayaan maksimum tanpa faedah sehingga RM2,000 bertujuan membantu penghantar makanan membaiki motosikal dan memasang aksesori.


Seramai 215 penghantar makanan telah diluluskan permohonan dengan nilai pembiayaan keseluruhan RM402,000.


Selain itu, Tekun Nasional juga akan menawarkan pembiayaan Skim Pemulihan Perniagaan Tekun mulai 13 Julai dengan pembiayaan mikro sehingga RM10,000 dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun.


Dana sebanyak RM100 juta melalui pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu bertujuan membolehkan syarikat mikro memulihkan perniagaan dengan setiap pembiayaan akan diberi tempoh moratorium selama enam bulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here