Tempat duduk ahli Parlimen patuhi SOP

0
130

CYBERJAYA- Hanya 174 Ahli Parlimen duduk di dalam Dewan Rakyat dengan penjarakan sosial satu meter dilaksana sebagai sebahagian prosedur operasi standard (SOP) baru bagi persidangan kali ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, sebahagian lagi membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan Bebas ditempatkan di Galeri Awam.

Katanya, sebahagian ahli Parlimen pembangkang pula ditempatkan di tempat duduk pegawai di kiri dewan.

“Pegawai kerajaan yang terbabit dengan urusan jawapan oleh menteri dan timbalan menteri ditempatkan di tempat duduk pegawai di sebelah kanan saya dengan kehadiran terhad,” katanya sebelum bermulanya sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad Ariff berkata, ahli Parlimen di Galeri Awam dan tempat duduk pegawai boleh menggunakan mikrofon disediakan untuk bertanyakan persoalan ketika sesi perbahasan berlangsung.

“Ada beberapa ‘blind spot’ yang terlindung dari pandangan Yang Dipertua semasa ahli-ahli Yang Berhormat bangun. Sehubungan dengan itu, dipohon ahli-ahli berdiri, memandang ke arah saya supaya saya dapat melihat kedudukan ahli-ahli Yang Berhormat,” katanya.

Menurut laporan Berita Harian, Mohamad Ariff turut menasihatkan semua ahli Parlimen memakai pelitup muka di dalam Dewan.

“Bagaimanapun, ahli-ahli Yang Berhormat boleh membuka pelitup muka semasa hendak mengemukakan atau menjawab pertanyaan atau perbahasan,” katanya.

Beliau menjelaskan, norma baharu dalam persidangan Dewan Rakyat perlu dilakukan memandangkan terdapat 87 Ahli Parlimen yang berumur lebih 60 tahun, sekali gus mempunyai risiko lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here