Produk Terengganu tembus pasaran di Malakat Mall

0
600

RAUDHAH CITY – Peminat produk keluaran usahawan kecil dan sederhana (IKS) dari Terengganu, khususnya produk makanan kini boleh mendapatkan produk itu di Malakat Mall, Cyberjaya.

Produk seperti rempah dan perencah masakan yang selama ini agak sukar dicari di Lembah Klang dan Selangor kini menjadi sebahagian daripada produk bumiputera di Raudhah Grocer (Malakat Mall).

Pengusaha produk makanan dari negeri itu, Hawa Abdul Rahman berkata, penempatan produk IKS di Raudhah Grocer membuka peluang kepada ramai usahawan untuk meluaskan pasaran.

Tempat produk 'orang kita' bergabung

“Saya lihat produk Terengganu banyak di sini. Biasanya orang luar kena ke Terengganu untuk dapatkan barang-barang seperti rempah ikan bakar, perencah tomyam dan rempah bunga ros yang popular.

“Alhamdulillah, semua produk makanan popular Terengganu sudah berada di Malakat Mall. Ini menunjukkan pasar raya ini adalah platform yang baik untuk memajukan sektor IKS,” ujar pemilik Hamie Industries Sdn Bhd itu.

Hawa berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan bersama usahawan SMECorp dan Tekun di Malakat Mall hari ini.

Kunjungan itu merupakan sebahagian daripada sesi penyesuaian produk dan mendengar taklimat pelan perniagaan pusat beli belah itu oleh Pengasasnya, Coach Fadzil Hashim.

Mengulas mengenai sambutan terhadap produk IKS, Hawa yang merupakan salah seorang pembekal produk di Raudhah Grocer berkata, sambutan yang diterima setakat ini sangat memberangsangkan.

“Produk saya di Raudhah Grocer adalah keropok segera Tok Yam. Syukur kerana jualan sangat memuaskan, tempahan berulang ada pada setiap minggu dan pembayaran yang diterima daripada pihak pasar raya juga cepat.

“Hari ini juga saya diberi peluang untuk menambah beberapa lagi produk keluaran syarikat Hamie Industries,” katanya.

Hawa berkata, sambutan baik orang ramai terhadap Malakat Mall memberi peluang kepada produk-produk bumiputera berkumpul di bawah satu platform.

“Kita bangga bila dapat tengok rak-rak produk dipenuhi dengan jenama orang kita.

“Pengunjung juga ramai terutama pada hujung minggu sampai sesak kerana ada banyak tarikan seperti tempat makan yang sangat menarik,” katanya.

Hawa berkata, sekiranya diberi peluang beliau bercadang untuk membuka kiosk kerepok lekor asli Terengganu di Malakat Mall sebagai produk tambah nilai di pusat beli belah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here