Tiada kadar sewa dikenakan di Malakat Mall Masjid Tanah

0
1554
Malakat Mall Masjid Tanah

MASJID TANAH – Cawangan kedua pusat beli belah BMF, Malakat Mall iaitu di Masjid Tanah di sini akan mengekalkan konsep sama seperti di Cyberjaya termasuk tiada kadar sewa dikenakan.

Bagaimanapun menurut Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, pihaknya akan menggunakan kaedah perkongsian daripada hasil jualan.

“Dalam pusat beli belah ini kita tidak ambil sewa daripada peniaga, kita cuma ambil perkongsian daripada jualan. Sebab orang Melayu tidak mahu masuk ‘mall’ sebelum ini ialah kerana sewanya mahal.

“Jadi kita buat kaedah yang seperti ini yang mana ada jualan baru bayar dan peratus bayarannya bergantung kepada jenis perniagaan dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran program Ayuh Bangkit di Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

Program tersebut yang pertama kali dianjurkan di luar Lembah Klang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, selain itu model perniagaan di Malakat Mall juga membawa konsep pemilikan bersama.

Katanya, ia melibatkan tiga komponen utama iaitu usahawan, koperasi dan komuniti.

“Konsep kita mempunyai tiga komponen iaitu melibatkan usahawan, koperasi dan ahli komuniti yang mana mereka juga merupakan ahli koperasi manakala pekerja kita jatuh dalam kategori usahawan.

“Model kita di sini sama seperti di Cyberjaya yang mana kita mengajak pengguna-pengguna Islam menjadi ahli Koperasi Pembangunan Islam Malaysia (KoPPIM) supaya mereka boleh menjadi pemilik bersama.

Sementara itu, Coach Fadzil berkata, pihaknya juga akan memberikan keutamaan kepada peniaga Muslim tempatan untuk menjalankan perniagaan di mall tersebut supaya ia dapat memberikan impak pada pekerjaan dan perniagaan kepada ekonomi setempat.

“Di Malakat Mall Msjid Tanah kita akan menjual pelbagai barangan seperti baju, kasut, beg, perkhidmatan, barang elektrik, kedai telefon dan lain-lain.

“Untuk Malakat Grocer, kita ada strategi lain yang mana ia mungkin akan diletakkan di bahagian atas,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here