Tiga lagi kes baharu JE di Pulau Pinang

0
103

GEORGE TOWN – Tiga lagi kes baharu membabitkan Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang selepas ujian makmal yang dijalankan hari ini mendapati ia positif JE, menjadikan keseluruhan enam kes dikesan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr. Norlela Ariffin berkata, tiga kes baharu itu membabitkan dua di Sungai Bakap, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) manakala satu lagi kes di Balik Pulau, daerah Barat Daya.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang ujian makmal tiga kes itu positif dan mangsa yang dijangkiti JE terdiri daripada kanak-kanak, namun semua mereka dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan umur serta jantina kanak-kanak yang telah dijangkiti JE itu namun memaklumkan mereka tidak menunjukkan gejala yang serius.

Katanya pihaknya tidak menolak kemungkinan semua mereka dijangkiti JE dari ladang ternakan babi terdapat di kawasan mereka kerana nyamuk culex membiak di air kumbahan ternakan serta parit tersumbat yang kotor.

Norlela berkata, sehingga semalam Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang telah mengambil sampel daripada 90 ekor babi di ladang ternakan di SPS dan Barat Daya serta lima ekor babi hutan di daerah SPS, Seberang Perai Utara serta Seberang Perai Tengah namun ujian makmal mendapati semuanya negatif JE.

“Menurut JPV Pulau Pinang ujian pada babi biasanya negatif JE, kerana ruang buat JE untuk muncul agak terhad, jadi masih ada kemungkinan ia datang dari babi yang diternak di ladang, tambahan pula kebanyakan kes JE tidak menunjukkan apa-apa simptom,” katanya.

Katanya memandangkan penyakit ini disebarkan melalui gigitan nyamuk culex, kegiatan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan ‘larvasiding’ dan semburan kabus akan dilaksanakan di lokaliti berkenaan bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit dengan membunuh jentik-jentik dan juga nyamuk dewasa.

Beliau turut menasihatkan pemilik-pemilik ladang khinzir untuk memastikan ia dalam keadaan bersih dan tiada takungan air, serta pergerakan air parit berjalan lancar bagi mengelak nyamuk jenis culex membiak.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk  mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit JE seperti sakit kepala, sawan atau perubahan neurologi,” katanya.

Pada 27 Jun lepas, dua kes JE yang dilaporkan di SPS membabitkan dua kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun, dengan seorang daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), dan mereka dalam keadaan stabil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here