Toomis tawar pes aneka rasa

0
313
Pengasas produk Toomis, Zalina Zulkapli.

PENGALAMAN selama lebih 20 tahun dalam perkhidmatan katering menjadi kunci keyakinan kepada Zalina Zulkapli meluaskan perniagaan dalam bidang pengeluaran pes makanan.

Beliau merupakan pengasas kepada produk Toomis yang diusahakan bersama ahli keluarga di Manjung, Perak.

Toomis tawar pes aneka rasa

Kini syarikat yang diilhamkan oleh bapanya yang merupakan cef Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi antara pes pilihan yang menggabungkan citarasa Perak dan Negeri Sembilan.

Antara pes keluaran Toomis adalah pes rendang, aneka masakan lemak, kari mamak mantul, tepung rangup, Oiiiden Suko (steamboat) dan mi udang Penang.

Zalina ketika ditemui pada sesi ‘Produk Pitching’ Malakat Mall hari ini berkata, produk keluaran syarikatnya mensasarkan pengguna khususnya wanita bekerja menikmati sajian yang berkualiti.

“Toomis bermula pada 2017 dengan pengalaman dalam bidang katering. Bermula dengan pengeluaran di rumah, kami kini sudah berkembang menjadi pengeluar dan pengedar bagi beberapa jenis produk pes.

“Sasaran pelanggan kami adalah wanita bekerjaya, suri rumah dan orang bujang yang kurang kemahiran memasak dan warga emas yang mahu menikmati rasa masakan yang berkualiti.

“Selain itu, sebagai pes segera kami juga menjadi pilihan mereka yang gemar melancong kerana kaedah penyediaan yang mudah,” katanya.

Mengulas mengenai pasaran di Raudhah Grocer, Zalina yakin peluang tersebut dapat meluaskan lagi pasaran produk, memperkasakan sektor produk keluaran bumiputera dan memaju ekonomi Islam.

“Insyallah jika diberi peluang, produk ini akan berada di Raudhah Grocer dan semua rangkaian runcitnya

“Peluang jualan runcit secara langsung di Malakat Mall ini diharap dapat mendekatkan produk kami dengan pelanggan selain ttumpuan dalam segmen dalam talian,” ujar beliau.

Zalina berkata, selepas melalui beberapa fasa penyelidikan termasuk beberapa kegagalan awal, beliau yakin produk keluaran Toomis kini sudah mencapai kualiti dan piawaian setanding dengan produk yang sudah lama menguasai pasaran. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here