
CYBERJAYA – Dustin Pfundheller yang menghasilkan video bertajuk ‘How Malaysia Did The Impossile’ dengan mengangkat kejayaan negara ini menanggani pandemik Covid-19 kecewa apabila video dengan 3.2 juta tontonan itu disekat Facebook.
Kekecewaan itu dikongsikan beliau pada Isnin lalu melalui video berdurasi empat minit yang mempersoalkan tindakan Facebook dan menjelaskan mengapa tindakan itu tidak seharusnya berlaku.
Pfundheller yang kecewa dengan tindakan itu berkata, sekatan pada video berkenaan bukan sahaja menjejaskan royalti yang sepatutnya diterima tetapi lebih menyedihkan kerana ia menutup kebenaran yang perlu dijadikan teladan kepada masyarakat dunia.
“Bukan sahaja saya menggunakan fakta tepat dan mendapatkan banyak sumber dan maklumat, saya juga mempunyai 30 YouTubers yang membuat pemeriksaan fakta mengenainya dan mengkaji semula video itu.
“… dan satu perkara yang saya dapati daripada kajian semula mereka adalah, ada banyak lagi yang seharusnya saya masukkan dalam video itu yang telah Malaysia lakukan – contohnya memberikan perkhidmatan internet percuma,” katanya menerusi video terbaharunya.
Beliau berkata, lebih mengecewakan apabila tiada pihak yang mengangkat kejayaan dan keberkesanan Malaysia dalam melawan Covid-19 seolah-olah negara ini tidak wujud, sebaliknya media hanya banyak tertumpu kepada negara-negara Barat.
Pada 18 Mei lalu, Pfundheller menerbitkan satu rakaman video di halaman Facebook beliau di ruangan Other Side of the Truth, yang memuji tindakan pantas dan efektif Malaysia dalam memerangi Covid-19 yang tular sehingga menjadi ikutan (video reaksi) ratusan Youtubers di seluruh dunia.
Video bertajuk How Malaysia Did the Impossible, menyenaraikan bagaimana kerajaan dan rakyat Malaysia bekerjasama memerangi Covid-19 dan menjaga kebajikan orang ramai.
Pakar bedah pergigian yang sering memberikan perkhidmatan sukarelawan perkhidmatan di serata dunia itu berkata, beliau telah bekerja keras untuk memberikan penghargaan yang sepatutnya kepada Malaysia.
“… tapi ada yang mengatakannya sebagai palsu dan Facebook mengambil tindakan menyekatnya, tanpa memberi penerangan mengapa mereka menganggap ia sebagai palsu dan mengelirukan,’’ katanya.
Pfundheller berkata, platform media sosial mungkin mempunyai perasaan berat sebelah terhadap beberapa kandungan tertentu.
“Saya rasa bagi pertubuhan besar seperti Facebook, adalah penting bagi mereka untuk melayan semua orang, semua pencipta, negara, …semuanya perlu mendapat layanan saksama,” katanya.