Warga asing tolong ingat di mana bumi berpijak!

0
272

Rayhan Kabir ketika muncul dalam dokumentari Al Jazeera

SEHARI dua ini nama Al Jazeera dan Rayhan Kabir tiba-tiba menjadi sebutan majoriti rakyat Malaysia. Bukan kerana kebaikan yang mereka lakukan tetapi keburukan yang telah mereka ciptakan.

Entah kenapa, kejayaan negara dalam mengawal pandemik Covid-19 tidak ditonjolkan tetapi kisah mengenai kononnya pendatang asing tanpa izin (PATI) diberi layanan buruk pula dijadikan bahan utama.

Jika dilihat dari tajuk video dokumentari tersebut iaitu ‘Lockep Up in Malaysia Lockdown’ sudah cuba memberikan gambaran buruk kepada Malaysia.

Naratif kepada dokumentari ini ialah kenapa PATI tidak dilayan seperti superstar dan tidak dibentangkan karpet merah ketika menjalani ujian Covid-19 dan ketika dikuarantin.

Agak pelik jika difikirkan kemahuan Al Jazeera dan sumber beritanya iaitu Rayhan dan beberapa individu lagi. Adakah di negara mereka PATI dilayan bak raja?

Malah tiada sebarang kekerasan dilakukan oleh kerajaan Malaysia dan PATI serta warga asing yang dikuarantin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mereka juga dilayan dengan baik oleh bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketika kedutaan mereka sendiri gagal menyediakan makanan dan kemudahan kepada rakyat mereka, Malaysia tampil dengan belas ihsan dan kasihan untuk memberikan bantuan sewajaranya.

Namun, ihsan yang diberikan dibalas dengan satu ‘tohmahan’ jahat. Di awal dan hujung laporannya Al Jazeera cuba menggambarkan Malaysia mengamalkan rasisme dan cuba menindas warga asing.

Walhal sepatutnya kejayaan Malaysia mengawal Covid-19 perlu menjadi tumpuan utama kerana banyak negara maju termasuk negara asal usul Al Jazeera sendiri gagal membendung penularan Covid-19.

Paling menggeramkan apabila Al Jazeera cuba menimbulkan isu perkauman antara kaum di Malaysia apabila mendakwa masalah hubungan etnik menyebabkan warga asing menjadi mangsa. Sedangkan media ini tidak tahu, seluruh rakyat Malaysia terutamanya ‘Tentera Bawang’ tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama berdiri teguh dengan pendirian negara dalam isu PATI.

Jika Al Jazeera, wartawannya, Rayhan Kabir dan individu lain melihat dari sudut berlainan, mungkin diri mereka sendiri yang bermasalah.

Sebelum keadaan membarah, lebih baik kerajaan Malaysia mengambil tindakan ke atas mereka kerana membuat tuduhan melampau sehingga mencemarkan nama baik negara. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here