11 ditembak mati, cubaan lolos ‘penjara kontroversi’ PNG

0
496
Penjara yang dinamakan Institusi Koreksional Buimo di Lae, Papua New Guinea

PORT MORESBY – Pihak berkuasa penjara Buimo di Papua New Guinea (PNG) menembak mati 11 banduan dalam satu lagi cubaan melarikan diri dari Institusi Koreksional Buimo.

Kejadian yang berlaku Sabtu lalu itu merupakan siri cubaan meloloskan diri kali keempat sejak beberapa tahun lalu yang menyaksikan puluhan banduan ditembak mati.

Dalam kejadian pada bulan Februari 2016, polis menembak mati 11 orang banduan termasuk pesalah kes bunuh dan perogol bersiri.

Pada bulan Mei 2017 pula, 17 bantuan penjara yang sama maut ditembak dalam cubaan melarikan diri secara besar-besaran dengan 57 banduan berjaya lolos.

Dalam kejadian terbaharu di bandar kedua terbesar negara itu, sebanyak 36 banduan masih belum berjaya ditangkap.

Kenyataan pihak berkuasa berkata, tahanan bertindak melarikan diri selepas memusnahkan sebuah pagar apabila seorang banduan yang sakit dipindahkan bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Kumpulan banduan tersebut kemudian menyerang seorang pegawai yang bertugas dengan menggunakan sebilah parang sebelum melarikan diri ke kawasan pekarangan penjara.

Seorang pegawai tinggi pemulihan banduan, Komisioner Stephen Pokanis berkata, 11 banduan ditembak mati oleh pengawal semasa percubaan untuk menangkap mereka.

“Kami mengemas kini statistik kami. Sebenarnya terdapat 47 banduan dengan 11 mati dan 36 lagi masih bebas,” katanya.

Ia merupakan kejadian kali keempat banduan-banduan melarikan diri dari penjara di negara tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here