11 kes baharu Covid-19

0
170


CYBERJAYA- Sebanyak 11 kes baharu jangkitan Covid-19 dicatatkan sehingga pukul 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 9, 094 kes.

Daripada 11 kes baharu tersebut, lima kes adalah merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang semuanya merupakan warganegara Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripada mereka pulang dari Australia serta masing-masing seorang dari Jepun dan Singapura.

“Enam kes penularan tempatan pula membabitkan lima warganegara dan seorang bukan warganegara yang dikesan menerusi saringan tempat kerja di Selangor.

“Lima kes warganegara itu membabitkan satu kes saringan sebelum pembedahan di Johor, tiga kes daripada Kluster Kurau dan satu kes saringan kemasukan ke wad di Melaka.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula berkurangan kepada 166 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan di hospital,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, terdapat 19 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 8,803 kes dengan kadar kesembuhan 96.8 peratus.

Selain itu katanya, sehingga kini, satu kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiara kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah 125 kes iaitu 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here