Amerika Syarikat gusar tentang ‘senjata kiamat’ Rusia

0
1780

CYBERJAYA – Dron dasar laut ‘Poseidon’ Rusia yang mampu memusnahkan Amerika Syarikat (AS) dengan ‘serangan gempa nuklear’ kini berada di fasa ujian akhir.

Menurut laporan The Sun, Kementerian Pertahanan Rusia mendedahkan tentang senjata pemusnah besar-besaran tersebut ketika Hari Tentera Laut pada bulan lalu.

Difahamkan, ujian melalui kapal selam Belgorod yang  akan membawa serta melancarkan Poseidon itu hampir selesai dan menunggu untuk pemasangan dron sahaja.

Laporan berkenaan turut memaklumkan bahawa pentadbiran Presiden Vladimir Putin buat pertama kali ‘membocorkan maklumat mengenai dron nuklear’ itu akhir 2015.

Dron berkenaan mampu meluncur selaju 85 kilometer sejam sejauh 10,000 kilometer dan membawa 100 mega tan peledak.

Kapten Tentera Laut Rusia, Konstantin Sivkov berkata, serangan Poseidon boleh menyebabkan pecahan tektonik dan memusnahkan benua Amerika Utara sepenuhnya.

Katanya, AS dikatakan bimbang selepas mendesak Moscow menghentikan pembangunan ‘senjata kiamat’ itu.

Ketika maklumat mengenai Poseidon bocor pada 2015, senjata pemusnah itu mampu memusnahkan kawasan pesisir strategik dan menyebabkan pencemaran radioaktif besar-besaran dalam tempoh lama.

Kapal selam Belgorod dapat mengangkut enam dron nuklear yang berkuasa menimbulkan ‘tsunami radioaktif’.

Pada 2018, Putin membi­carakan secara terang-terangan mengenai Poseidon yang ‘menakutkan’ dan menyebutnya ‘sangat hebat’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here