2,018 pemeriksaan mengejut di rumah pesakit dalam pemantauan

0
102

CYBERJAYA- Sebanyak 2,018 pemeriksaan mengejut telah dilakukan semalam ke atas pesakit dalam pemantauan (PUS) yang dikuarantin di rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemeriksaan itu dilakukan pegawai Kementerian Kesihatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ia bagi memastikan semua individu berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berhubung perintah kuarantin. 

“Kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan juga masyarakat sekeliling.

“PDRM tidak berkompromi lagi dan telah mengambil tindakan mengikut Seksyen 22(B) Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) terhadap 31 individu yang melanggar SOP kuarantin di rumah termasuk keluar dari kawasan rumah. 

“Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sementara itu katanya, seramai 6,473 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan dan semua mereka ditempatkan di 26 hotel serta lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Perlis bermula 24 Julai lalu hingga semalam. 

“Daripada jumlah itu, seramai 18 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here