
CYBERJAYA- Sebanyak 267 anggota polis akan mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Slim, Perak esok.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, pengundian awal di lakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, Perak.
Ikmalrudin berkata, pusat pengundian akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.
“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan Covid-19 yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan sanitasi tangan dan saringan suhu badan akan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, serta Santhara Sekaran Subramaniam, 42.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong, Pahang selepas mengadu kesukaran bernafas.
Menurut Ikmalrudin, proses pengundian awal akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR.
“SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara langsung menerusi Facebook SPR,” ujarnya.
Dalam pada itu, peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap IPD Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian pada 29 Ogos ini bertempat di pusat pengiraan undi di Bilik Menunggu, Aras 3, Majlis Daerah Tanjong Malim.