3 zon di Aman Jaya dikenakan TEMCO bermula tengah malam ini

0
390
Sekolah di tiga zon di Aman Jaya diarahkan tutup sepanjang TEMCO berkuat kuasa

CYBERJAYA – Berkuat kuasa tengah malam ini Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran (TEMCO) akan dilaksanakan di Aman Jaya, Kedah dengan melibatkan tiga zon.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penguatkuasaan itu akan bermula 12.01 malam esok sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tiga zon di Aman Jaya adalah di Kenanga, Mawar dan Melur yang melibatkan seramai 22,360 isi rumah akan disaring oleh KKM.

“Penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar dari zon manakala orang luar juga tidak dibenarkan memasuki zon terlibat,” katanya dalam sidang akhbar hariannya hari ini.

Ismail Sabri berkata, penguatkuasaan itu turut melibatkan mereka yang bekerja.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan majikan agar tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap mereka yang terlibat ddengan penguatkuasaan tersebut.

“Majikan perlu ambil maklum akan perintah ini dan membenarkan mereka yang terlibat untuk bekerja dari rumah,” katanya lagi.

Katanya, bermula pada tarikh tersebut Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula melaksanakan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk zon yang terlibat.

“Tempat awam seperti masjid dan rumah ibadat serta sekolah dan taska diarahkan tutup sepanjang tempoh ini

“Hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi seperti premis yang menyediakan perkhidmatan makanan seperti kedai makan, kedai runcit dan warung serta stesen minyak, kedai runcit dan farmasi, klinik serta hospital sahaja,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here