
CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam telah menahan 140 individu di atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, daripada jumlah itu, seramai 32 individu direman manakala 108 lagi individu dikompaun kerana terlibat dalam aktiviti orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat pemeriksaan 62,530 pemeriksaam semalam,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, seramai 7,175 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lalu.
Kesemua mereka kini sedang menjalani perintah kuarantin wajib di 30 buah hotel dan lima Institut Latihan Awam di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan kerana didapati positif Covid-19.