5 kedai milik warga asing diserbu, diarahkan tutup

0
575
Salah sebuah kedai yang disita serta merta oleh DBKL

CYBERJAYA – Sebanyak lima kedai yang diusahakan oleh warga asing diserbu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi di sekitar kawasan Bukit Jalil dan Jalan Awan Hijau yang terletak dalam Parlimen Seputeh, semalam.

Menurut DBKL dalam satu kenyataan, operasi kali ini turut melibatkan Jabatan Imigresen dan polis.

“Tindakan pertama diambil terhadap kedai cuci kereta di Jalan Awan Hijau, hasil daripada pemantauan mendapati kedai tersebut dijalankan oleh warganegara India dan tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL.

“Kedai tersebut telah diambil tindakan sita dan tutup serta merta di bawah seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Tambahnya, tindakan kedua pula diambil terhadap sebuah gerai makan mamak di Jalan Awan Hijau 1 yang didapati mengajikan pekerja bukan warganegara tanpa kebenaran yang sah.

Katanya, meskipun gerai tersebut mempunyai lesen yang sah daripada DBKL, tindakan notis kompaun di bawah sek 14(1)(b) Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja ( WPKL ) 2016 diambil terhadapnya.

“Tindakan ketiga pula diambil terhadap kedai gunting rambut di Blok B-0-5A Seri Rakyat Apartment, Jalan 14/155C Bukit Jalil.

“Hasil pemantauan mendapati kedai dijalankan oleh warga Bangladesh walaupun mempunyai lesen yang sah daripada DBKL.

“Kedai tersebut telah diambil tindakan tutup serta merta (sealed) di bawah seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” ujarnya.

Seterusnya, katanya, tindakan juga diambil terhadap sebuah kedai runcit yang dijalankan oleh warga Bangladesh dan sebuah pasar mini yang dijalankan oleh warga Indonesia.

Katanya, kedua-dua kedai berkenaan telah diambil tindakan sita dan tutup serta merta di bawah seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here