50 pelajar cemerlang bumiputera ditawar belajar ke luar negara

0
473
Datuk Seri Azizah Dun (tengah) berkata sesuatu kepada pelajar tajaan MARA sempena Majlis Ramah Mesra Pengerusi MARA Bersama Pelajar Program WTU 2020 semalam.

CYBERJAYA – Sebanyak 50 pelajar cemerlang di seluruh negara ditawarkan untuk mengikuti program Universiti Terbaik Dunia (WTU) pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Azizah Dun berkata, pelajar-pelajar tersebut akan memasuki 30 universiti terbaik dunia berdasarkan QS Ranking.

Beliau berkata, mereka akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang dari peringkat ijazah pertama sehingga ke peringkat doktor falsafah (Phd).

“WTU merupakan program penajaan pelajaran MARA yang memberi peluang kepada pelajar cemerlang untuk mengikuti pengajian dalam dan luar negara.

“Sejak diperkenalkan pada tahun lepas, seramai 31 orang pelajar telah mengikuti pengajian di bawah program ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Pengerusi MARA Bersama Pelajar Program WTU 2020 semalam.

Dalam pada itu, Azizah berkata, MARA telah melaksanakan program penganjuran pelajaran sejak tahun 1966 dan hingga kini telah menaja seramai 1.35 juta orang pelajar dalam dan luar negara.

Beliau berkata, pada tahun ini sahaja kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2 bilion bagi tujuan program penganjuran pelajaran yang dijangka memberi manfaat kepada 50,000 orang pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

“Selain daripada WTU, MARA turut menawarkan pelbagai program lain di bawah bahagian Penganjuran Pelajaran seperti Young Talent Programme (YTP), Tertiary Education Sponsorship Programme (TESP), IPMA Excellent Student Programme (IESP) dan Graduate Excellent Programme (GrEP).

“Selain itu, MARA turut menawarkan program Professional Development Programme
(Pro-P), Talent Development Programme (TDP), MARA Apperenticeship Programme (MAP), MARA Education Sponsorship Hybrid Programme (MESH) dan Advance Sponsorship Education Programme (A-SEP),” ujarnya.

Beliau berkata, MARA sentiasa membuka peluang kepada pelajar bumiputera yang
cemerlang untuk melanjutkan pengajian di universiti terbaik dunia.

Katanya, ini bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan untuk belajar dalam persekitaran yang kondusif sekaligus dapat melahirkan pelajar yang mampu bersaing dan mewujudkan jaringan antarabangsa.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here