Apa jadi pada Ali, Ah Chong dan Muthu?

0
271

TANYALAH sesiapa pun, kita susah untuk menerima hakikat sekolah jenis kebangsaan atau lebih dikenali sebagai sekolah vernakular menyumbang sesuatu yang positif kepada perpaduan negara.

Secara logiknya juga, sistem pendidikan cara berasingan yang berasaskan bahasa ibunda dan berpuak-puak ini sudah tentu lebih banyak mencetuskan rasa tidak serasi, curiga dan jauh hati.

Sekolah adalah institusi pertama. Ia seharusnya memupuk semangat bersatu, membuka peluang kepada kemajmukan dan menanam semangat persefahaman, bukannya menghalang integrasi dan perpaduan.

Itulah hakikat dan konsep paling asas yang saya rasa seluruh rakyat negara ini bersetuju melainkan bagi mereka-mereka yang melihat wujudnya ‘kelebihan atau manfaat’ lain, sehingga sanggup bermatian-matian mempertahankannya.

Tanya sahajalah kawan-kawan Cina, India dan Melayu, mereka yang berfikir secara rasional pasti dapat menilai betapa kita tidak memerlukan sekolah vernakular demi perpaduan lebih baik.

Apabila disentuh isu sekolah vernakular ini, kadang-kadang penulis teringat kepada kisah-kisah klasik Ali, Ah Chong dan Muthu di dalam buku-buku teks sekolah.

Apa ‘kesudahan’ yang berlaku kepada tiga sahabat baik ini sekarang? Adakah kisah dan teladan mereka masih diceritakan dalam sukatan pelajaran di sekolah vernakular? Jika masih ada, sudah tentu ia tidak lebih sekadar retorik.

Sedangkan sejak sekian lamanya (di sekolah kebangsaan), itulah kisah yang menjadi asas perpaduan negara, diterap dan dipaku dalam hati setiap pelajar.

Sedangkan dalam soal ini, kewujudan sekolah yang dimajoriti oleh pelajar Cina dan Tamil sebenarnya tidak menjadi masalah kerana perkara yang sama berlaku di kawasan-kawasan yang majoriti Melayu.

Namun pembawakan sekolah vernakular yang dilihat menolak dan mengetepikan peranan bahasa Melayu adalah sesuatu yang tidak patut dibenarkan kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, malangnya telah diterima pakai sejak sekian lama.

Kesannya, lahirlah rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa dalam satu bahasa yang difahami semua dan pada akhirnya menyusahkan negara.

Persoalannya, kenapa sistem pendidikan tinggalan penjajah yang berteraskan prinsip ‘pecah dan perintah’ itu masih kekal dan tidak diganti dengan pendidikan satu aliran seperti dipraktikkan di negara-negara lain.

Dalam kes ini, Malaysia kekal unik dalam perjalanan sistem pendidikannya kerana tidak ada toleransi kemajmukan ‘sebebas’ itu di dunia ketika ini.

Dalam kemajuan teknologi digital dan media sosial yang semakin mengasingkan kita (fizikal), pengasingan anak-anak muda melalui sekolah vernakular pada penulis
seolah-olah lebih banyak membina tembok berbanding jambatan.

Demi masa depan negara yang lebih baik, sudah sampai waktunya untuk kerajaan meletakkan noktah pada pengasingan bumbung pendidikan negara yang pada akhirnya memecahkan perpaduan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here