Armada gesa mansuhkan sekolah vernakular

0
497
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menggesa supaya semua sekolah vernakular dimansuhkan secara berperingkat.

Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal berkata, usaha tersebut perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk meraih undi.

“Armada tidak menolak rencam masyarakat, malah meraikan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia kerana inilah keunikan dan kekuatan kita.

“Namun berbeza-beza biarlah satu. Maka, di samping mendokong untuk mengasaskan Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Tamil sebagai subjek utama di sekolah kebangsaan di Malaysia, pun begitu perlu jelas bahawa bahasa Melayu adalah tali pengikat perpaduan selaras perlembagaan.

“Bercakap soal penghayatan Rukun Negara, terangan terasnya adalah “Keluhuran Perlembagaan”. Bagaimana boleh pernyataan terkait Rukun Negara pula menolak perihal mendaulahkan antara perkara dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Perkara 152,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique menegaskan bahawa sekolah vernakular tidak akan ditutup.

Kenyataan tersebut mendapat reaksi negatif terutamanya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendokong supaya hanya sekolah satu aliran sahaja diwujudkan di Malaysia.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayshal berkata, kenyataan menteri itu sebagai tidak mencerminkan citra nasional bagi menjayakan integrasi kaum di negara ini.

“Biarpun Akta Pendidikan 1996 yang menggantikan Akta Pendidikan 1961 telah memansuhkan kuasa budi bicara Menteri Pendidikan untuk menutup sekolah vernakular pada bila-bila masa, sekolah vernakular jelas mendapat persepsi negatif rakyat apabila rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang mampu memperlihatkan jati diri nasional yang kental.

“Selain itu, terdapat banyak pandangan bahawa penubuhannya kekal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Pendukungan simbol dan pengamalan sosiobudaya teras kebangsaan selaras dengan kontrak sosial antara lainnya menuntut penguasaan bahasa Melayu yang merupakan ‘bahasa kebangsaan’ kita. Namun pemerhatian menunjukkan ramai lepasan sekolah vernakular hanya mampu memperlihat penguasaan bahasa ibunda masing-masing,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here