Bayaran balik PTPTN ditangguhkan 3 bulan

0
135
Datuk Noraini Ahmad

CYBERJAYA – Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam tabung pendidikan itu untuk tempoh tiga bulan lagi bermula 1 Oktober sehingga 31 Disember ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata, penangguhan itu melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta.

Berikutan itu, katanya, jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.

“Semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

“Sekiranya, terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar.

“Kerajaan amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh sebilangan peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran hidup disebabkan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Careline PTPTN melalui talian 03-2193 3000 yang beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang atau melayari portal rasmi www.ptptn.gov.my.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here