Covid-19 – Kes libatkan kluster Sivagangga makin membimbangkan, murid sekolah turut dijangkiti

0
783
Datuk Dr. Noor Hisham

CYBERJAYA – Jumlah jangkitan kes Covid-19 melibatkan kluster Sivagangga terus menunjukkan angka membimbangkan apabila 11 orang lagi didapati positif hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, lapan kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,975 yang merupakan generasi pertama.

Beliau berkata, kes itu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur 7 tahun.

“Tiga kes merupakan kontak rapat kepada kes positif ke-8,976, iaitu termasuk juga satu kes pelajar sekolah berumur 10 tahun.

“Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, sehingga tengah hari ini, sebanyak 313 orang telah disaring dan daripada jumlah itu 20 kes dikesan positif Covid-19, 280 negatif; dan 13 kes masih menunggu keputusan ujian.

Beliau berkata, daripada 20 kes yang dikesan positif, kesemua kes adalah aktif.

Namun katanya, tiada kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.

“Daripada kes positif yang dilaporkan, sebanyak 15 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan lima kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif giat dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mencegah penularan Covid-19.

Sementara itu beliau berkata, aktiviti pembersihan dan nyahkuman dilaksanakan di semua premis termasuklah sekolah yang terlibat dan rumah kes yang dikesan positif.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here