
CYBERJAYA – Keputusan ujian saringan pelajar di Seri Pantai, Lembah Pantai yang dikatakan dijangkiti Covid-19 seperti yang tular di media sosial masih belum diketahui.
Setakat ini, pelajar yang mengalami gejala muntah dan cirit sejak 9 Ogos lalu itu hanya disahkan positif demam denggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian pengesahan Covid-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin berlaku memandangkan pelajar itu mengidap denggi.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) ada menerima laporan daripada sekolah berkenaan mengenai seorang pelajar yang bergejala dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut protokol kementerian itu.
“Hasil siasatan mendapati pelajar tingkatan 5 itu telah mengalami gejala seperti muntah dan cirit-birit pada 9 Ogos dan telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.
“Pelajar itu kemudian dipindahkan ke pusat perubatan untuk rawatan lanjut dan telah disaring untuk demam denggi dan covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, pihak kementerian telah memulakan aktiviti pengesanan awal kes secara aktif di lapangan bagi mencegah risiko penularan wabak.
Sehingga kini, KKM telah mengenal pasti 34 orang kontak rapat terdiri daripada 34 pelajar dan lapan guru sekolah dengan 28 orang telah disaring dan 14 lagi diberi arahan untuk hadir ke klinik kesihatan untuk tujuan persampelan.
“Semua individu yang telah disaring diberi arahan supaya menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) manakala proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenal pasti.
“Pemantauan ke atas kes bergejala ini dan semua kontak rapat beliau akan terus dipantau oleh pihak KKM. Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Hisham berkata, kes positif Covid-19 hanya akan diumumkan sebagai sah selepas disahkan oleh KKM dan masyarakat diminta menyemak kesahihan maklumat sebelum bertindak menyebarkan maklumat tersebut.