
CYBERJAYA – Situasi jangkitan Covid-19 di Korea Selatan dianggap sebagai ‘semakin meruncing’, dengan jumlah kes positif baharu kekal tiga angka dalam tujuh hari ini.
The Guardian melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan Korea Selatan, Kim Gang-lip sebagai berkata, situasi ini, jika tidak dikawal, boleh menyebabkan perebakan yang lebih serius.
“Kami memantau situasi ini dengan serius kerana kami dapati kes jangkitan ini bermula di pusat keagamaan dan kini didapati mula merebak menerusi beberapa acara perhimpunan,” kata Gang-lip.
Kebanyakan kes yang disahkan di negara tersebut disahkan mempunyai kaitan dengan sebuah kluster yang berasal dari Kuil Sarang Jeil yang terletak di utara Seoul.
Menurut agensi berita tempatan, Yonhap, terdapat 623 kes yang telah disahkan berpunca daripada kluster tersebut.
Kuil tersebut diuruskan oleh seorang pendakwah radikal, dan difahamkan para pengikutnya telah turut menyertai beberapa perhimpunan anti-kerajaan di tengah Seoul beberapa minggu ini.
Hari ini, terdapat sebanyak 288 kes baharu dilaporkan, dengan 166 daripadanya dikatkan dengan kluster kuil tersebut.
Laporan Yonhap turut menyebut, kluster ini telah merebak ke sekurang-kurangnya 114 lokasi lain termasuk hospital dan pusat panggilan.