
CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyifatkan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1442 yang diterimanya sebagai satu manifestasi penghargaan kepada semua petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi terlibat dalam melawan Covid-19.
Dr. Noor Hisham berkata, ini kerana usaha
membendung pandemik Covid-19 itu dibuat demi kesejahteraan ummah dan negara.
“Alhamdulillah, jutaan terima kasih buat semua di atas sokongan yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan khususnya petugas barisan hadapan dan belakang tabir warga kesihatan,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
Dr. Noor Hisham hari ini menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena sambutan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham turut menjunjung kasih terhadap Agong yang menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah 1442H peringkat Kebangsaan kepada beliau.-MT