Dr. Noor Hisham terima gelaran Tan Sri, disifatkan hero negara

0
357

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan menganugerahkan darjah kebesaran itu pada istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020 di Istana Melawati hari ini.

Penganugerahan itu diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba melalui laman Facebook rasmi kementeriannya petang tadi.

Pengumuman itu disambut dengan ucapan tahniah daripada seluruh rakyat Malaysia termasuk pemimpin dan selebriti di dalam laman sosial Facebookm Twitter dan Instagram.

Antaranya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selebriti terkemuka tanah air, Neelofa juga tidak ketinggalan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Dr. Noor Hisham atas sumbangan beliau memerangi wabak Covid-19.

“Tahniah buat Tan Sri @DGHisham atas penganugerahan darjah. Anugerah yang sewajarnya dan terima kasih atas sumbangan kepada negara. Hero Malaysia yang sebenar,” katanya melalui Twitter.

Sementara itu, Dr, Noor Hisham dalam hantaran Twitternya berkata, anugerah itu adalah pengiktirafan terbesar buat seluruh kakitangan terutama barisan hadapan Kementerian Kesihatan yang berjuang memerangi pandemik Covid-19.

“Merafak sembah, menjunjung kasih Ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kurniaan pingat PSM. Darjah kebesaran ini adalah satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir KKM, lambang kepercayaan dan penghargaan kerajaan kepada penjawat awam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here