Garis panduan PRK Chini digunakan di PRK Slim

0
104

CYBERJAYA – Kerajaan akan menggunapakai garis panduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini pada PRK Slim dengan beberapa penambahbaikan. 

Menteri Kanan ( Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam selepas meneliti garis panduan berkenaan.

Menurut Ismail Sabri, antara garis panduan yang dipersetujui termasuk bilik gerakan parti dan bilik gerakan kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bilik gerakan ini perlu didaftarkan dengan SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan.

“Kempen dan ceramah pula hanya  dibenarkan dilaksanakan di kawasan tertutup atau berpagar bagi memudahkan proses pemantauan dan pemeriksaan suhu badan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Ismail Sabri, jumlah kehadiran perlu mengikut keluasan kawasan dengan penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa. 

“Pemakaian penutup muka juga adalah diwajibkan dan waktu untuk keluar mengundi digalakkan mengikut ketetapan SPR. Ini bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di pusat mengundi.” katanya.

Dalam pada itu katanya, SPR akan mengadakan perbincangan bersama wakil parti politik yang bertanding mengenai Garis Panduan Pilihan Raya yang memerlukan penilaian berdasarkan situasi semasa.

“SOP yang ditetapkan untuk PRK ini adalah berdasarkan Akta 342, di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ini bagi mencegah penyebaran jangkitan wabak Covid-19 ketika PRK berlangsung tetapi peraturan mengikut Akta-Akta SPR masih diguna pakai semasa PRK berjalan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here