
CYBERJAYA – Rakyat Malaysia dan peminat sukan permotoran kini boleh menarik nafas lega selepas keadaan pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin yang terlibat dalam kemalangan berada dalam tidak membimbangkan.
Dalam satu rakaman video berdurasi 10 saat yang dimuat naik menerusi laman Facebook Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao menunjukkan pelumba negara itu masih mampu tersenyum dan menunjukkan tanda bagus.
“Syukur, Alhamdullilah. Semuanya dalam keadaan selamat.Terima kasih doakan Hafizh,” katanya.
Hafizh terlibat dalam satu kemalangan dahsyat ketika berlumba dalam GP Austria.
Dalam nahas itu, Hafizh terlanggar motosikal yang ditunggang Enea Bastianini daripada pasukan Kalex yang terjatuh ketika berada di selekoh awal perlumbaan.
Meskipun keadaan jentera miliknya rosak teruk, keadaan Hafizh tidak membimbangkan dan hanya mengalami calar balar di bahagian punggung.
Sementara itu, menurut bos pasukan Angle Nieto, Jorge Martinez Aspar, doktor telah menjalankan pemeriksaan terhadap Hafizh dan mendapati keadaannya baik serta tidak mengalami kecederaan yang membimbangkan.
“Doktor memberitahu saya, Hafizh berada dalam keadaan sedar dan tidak mengalami impak di bahagian kepalanya.
“Pasukan perubatan juga melakukan pemeriksaan ultrasound di bahagian perut dan mendapati ianya berada dalam keadaan baik.
“Kemudian doktor turut melakukan CT scan di seluruh anggota badan dan tiada keretakan tulang dialaminya,” ujarnya.-MT