
CYBERJAYA – Meskipun masih dibelenggu kecederaan, pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin tetap mahu meneruskan perlumbaan dalam GP Styria pada hujung minggu ini.
Hafizh berkata, berikutan itu beliau akan menjalani pemeriksaan kesihatan pada Khamis ini untuk memastikan sihat sepenuhnya sebelum berlumba.
“Sedikit demi sedikit kecederaan yang saya alami semakin menunjukkan perkembangan yang baik, walaupun tak banyak ia sekurang-kurangnya lebih baik dari Ahad lalu selepas terlibat dalam kemalangan dahsyat itu,” katanya seperti disiarkan dalam laman web Team Aspar hari ini.
Hafizh yang beraksi dalam Moto2 bersama pasukan Aspar pada musim ini mengalami kemalangan dahsyat dalam perlumbaan GP Austria selepas terlanggar motosikal yang ditunggang Enea Bastianini daripada pasukan Kalex yang terjatuh ketika berada di selekoh awal perlumbaan.
Meskipun keadaan jentera miliknya rosak teruk, keadaan Hafizh tidak membimbangkan dan hanya mengalami calar balar di bahagian punggung.
Dalam pada itu, Hafizh juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan dirinya.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin terhadap saya dan kepada semua peminat yang menghantar mesej dan mendoakan supaya saya segera sembuh,” ujarnya.-MT