‘Ingatkan 6 tapi ada 11 kedai judi haram’ – Asri Janggut

0
2989
Mohd. Asri

SUNGAI BULOH – Peniaga burger yang tular berikutan pendedahan beraninya mengenai kegiatan haram di sebuah kawasan perindustrian di sini terkejut apabila jumlah kedai judi haram di lokasi itu lebih banyak daripada diketahuinya.

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak polis terdapat 11 premis perjudian haram di lokasi tersebut.

“Yang saya tahu dan nampak enam kedai judi tapi tadi saya pergi ke Bukit Aman saya dimaklumkan ada 11 kedai judi di kawasan ini sahaja,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, beliau yang diberi gelaran sebagai Asri Janggut mengiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memantau lokasi yang dikatakan menjadi sarang judi haram di Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Mohd. Asri juga mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan di atas keprihatinan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam menangani isu judi haram.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan yang menyokong dan mendoakannya dalam usaha membanteras judi haram.

Semalam, pendedahan Mohd. Asri mengenai aktiviti perjudian dan kedai milik warga asing yang beroperasi tanpa lesen yang disiarkan oleh Malakat Tribune mendapat reaksi pelbagai pihak.

Dalam laporan eksklusif itu, Mohd. Asri berasa hairan mengapa polis membuat laporan ke atas dirinya sedangkan beliau yang membongkarkan mengenai aktiviti haram yang berlaku di Sungai Buloh.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here