Ingkar SOP : 88 individu ditahan, termasuk empat direman

0
46
Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Sebanyak 88 individu ditahan pihak berkuasa atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pemulihan (PKPP) semalam dengan empat daripadanya direman.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 64,658 pemeriksaan dilakukan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Katanya, kesalahan yang paling kerap dilakukan adalah gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk iaitu sebanyak 31 kes, manakala tidak memakai pelitup muka (15 kes) dan terlibat dalam penganjuran parti (32 kes).

Ismail berkata, pemantauan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman masing-masing mendapati kesemua mematuhi SOP berkenaan.

“Sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 18,401 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 68 hotel dan enam Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 7,965 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala seramai 10,380 individu sudah dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan berkaitan PKPP hari ini.

Sementara itu Ismail berkata, sebanyak 25,503 kenderaan turut diperiksa dalam 62 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dijalankan di seluruh negara semalam.

Katanya, bagi pemeriksaan di tapak pembinaan, sebanyak 22 tapak diperiksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di seluruh negara manakala
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melakukan 1,350 pemeriksaan khas dengan 44 premis diberi nasihat dan 24 premis diberi amaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here