Institusi pondok, tahfiz akan disusun semula

0
176
Ustaz Masridzi

MASJID TANAH – Institusi pondok dan tahfiz yang telah dikenal pasti dalam negara akan disusun semula untuk diberi nafas baharu supaya dapat bergerak seiring dengan peredaran zaman.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Masridzi Sat berkata, usaha tersebut yang akan disokong oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan memberikan tumpuan kepada agenda pemerkasaan ekonomi dan membangunkan semula institusi pondok.

“Kita akan laksanakan tujuh projek atau 7P di pondok-pondok ini yang mana Pembela akan menyusun semula profil semua pondok-pondok ini.

“Kedua, kita akan bangunkan laman sesawang setiap pondok kerana zaman sekarang orang hendak tahu perkembangan mengenai pondok-pondok ini. Pada masa sama, kita juga akan buat dokumentari ringkas mengenai institusi pondok ini.

“Selain itu, kita juga hendak ubah dengan membeli barangan daripada pembekal Muslim dan sehingga ke tahap kita mampu wujudkan koperasi di setiap pondok,” katanya ketika berucap sempena Majlis Munajat Perdana Kebangkitan Ekonomi Islam di Malakat Mall Masjid Tanah hari ini.

Mengulas lanjut, Masridzi berkata, pihaknya juga berhasrat menyediakan pelajar di institusi berkenaan dengan ilmu kemahiran supaya selepas tamat pengajian mereka mempunyai perniagaan sendiri.

“Kita juga merancang projek pertanian dan penternakan supaya kita dapat membekalkan barangan seperti sayur, daging, ayam, kambing ke pasar-pasar. Ini sekali gus akan menjana ekonomi umat Islam.

“Kita tidak mahu pondok hanya menjadi pusat mengaji agama, tempat meminta derma dan lebih berat selepas menerima derma kita membeli barangan daripada bukan saudara seagama kita,” tegasnya.

Sementara itu, Masridzi berkata, berhubung pemerkasaan agenda ekonomi pula, pihaknya menyerahkan kepada Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim untuk mengetuainya kerana mempunyai kepakaran dalam bidang perniagaan.

“Beliau sudah ada lebih 100 tadika dan telah terbukti berjaya dalam bidang pendidikan sebelum menceburi diri dalam bidang peruncitan.

“Modal untuk membuka perniagaan ini berjuta-juta tapi beliau mampu. Sebab itu saya nasihati beliau dengan membawa ulama untuk dekatinya.

“Kita mahukan golongan profesional dan ulama bergandingan bersama-sama seperti yang dilakukan oleh Sultan Muhammad al-Fatih yang membawa panglima dan gurunya ketika berperang,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here