Isu solat: Asri Janggut disiasat kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapi-apikan

0
659

CYBERJAYA – Gara-gara ‘terlepas cakap’, peniaga burger tular, Mohd. Asri Hamid akan disiasat oleh pihak polis mengikut dua seksyen.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan itu akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UJST) Bukit Aman.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum lain.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam mungkin terdorong melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam.

“Selain itu, ia turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mohd Asri atau dikenali sebagai Asri Jangut dalam satu siaran langsung menerusi Facebook Live Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kelmarin menuduh banyak polis dan tentera tidak solat.

Bagaimanapun, Asri Janggut dalam satu rakaman video semalam mengakui kesilapannya, berjanji tidak akan menyentuh atau mengulas sebarang perkara yang berkaitan dengan dua pihak berkuasa itu pada masa depan.

Sementara itu, Huzir berkata, hasil penelitian polis terhadap dua video wawancara itu terdapat unsur kenyataan yang jelik serta penghinaan terhadap pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kesemua saksi yang dikenal pasti terlibat iaitu individu yang diwawancara, penganjur wacana atau wawancara serta penghasilan kedua-dua video itu akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan dilaksanakan berlandaskan undang-undang di mana tiada individu atau pun entiti yang terlepas daripada sebarang tindakan jika jelas mencabuli undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here