Jadikan tahun baharu Hijrah 1442 untuk kebangkitan semula ekonomi Islam

0
240
Gambar hiasan

SEDAR tak sedar, selepas senja esok umat Islam akan meraikan tahun baharu Hijrah 1442. Ia juga bermakna lebih 1,400 tahun jarak kita dengan nabi junjungan tercinta, Nabi Muhammad SAW.

Jika disingkap semula, sejarah 1 Muharram bermula dengan peristiwa hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 masihi.

Namun begitu, kalendar hijrah hanya bermula ketika pemerintahan Umar Al-Khattab RA atau tahun keenam selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Sebelum kalendar Islam diperkenalkan, masyarakat Arab ketika itu menggunakan peristiwa penting yang berlaku pada tahun itu.

Misalnya kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenali dengan Tahun Gajah kerana pada waktu itu berlakunya peristiwa penyerangan Kota Mekah oleh tentera bergajah Abrahah.

Nama Muharram itu sendiri dari sudut bahasa bermaksud bulan yang diharamkan yang mana masyarakat Arab dilarang berperang pada waktu itu.

Masyarakat Arab pada zaman dulu sangat meyakini bahawa bulan Muharram adalah bulan suci dan dilarang berperang.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, syiar Islam semakin berkembang. Era pemerintahan Khulafa Al-Rasyidin yang bermula dengan sahabat Rasulullah iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, syiar Islam tersebar di seluruh tanah Arab.

Kemudian, selepas kewafatan Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar yang menggantikannya meluaskan lagi empayar Islam dengan menakluki Parsi. Selepas kematian Umar, Saidina Uthman Affan yang menggantikan baginda telah memperluaskan lagi syiar Islam sehingga ke Armenia dan Khurasan.

Sejak itu, Islam terus berkembang maju. Pelbagai empayar Islam yang muncul secara silih berganti ketika itu menyaksikan umat Islam terus ke hadapan dalam menguasai segenap ilmu dan teknologi.

Ketika Barat masih berada dalam zaman gelap, ramai tokoh-tokoh hebat Islam muncul pada waktu itu

Al-Khawarizmi, Ibn al-Haytham, al-Kindi, Ibnu Sina dan Zakaria al-Razi antara nama-nama besar pada zaman itu yang memberi sumbangan besar kepada dunia sehinggalah sekarang.

Karya-karya mereka terus menjadi rujukan dan sebutan sehingga sekarang.

Tetapi itu kisah dahulu, sayangnya sekarang semua kini tinggal kenangan dan umat Islam hanya mampu bernostalgia.

Sejak kejatuhan empayar Uthmaniah, umat Islam menjadi semakin mundur. Situasi ini juga berlaku di Malaysia.

Meskipun tidak ditindas secara fizikal, umat Islam di Malaysia jauh ketinggalan dari sudut ekonomi. Daripada RM110 bilion perbelanjaan runcit, umat Islam hanya mendapat lapan peratus syer pembekalan sebagai peruncit.

60 peratus daripada jumlah RM110 bilion pula dikuasai oleh syarikat asing. Lebih menyedihkan apabila negara terpaksa mengimport nilai lebih RM50 bilion makanan dari negara asing kerana ketidakmampuan kita menghasilkan makanan sendiri.

Di manakah silapnya? Dan adakah kita hanya mahu meneruskan kesilapan sama?

Memasuki tahun baharu hijrah, sudah tiba masanya umat Islam seluruh negara mengumpulkan kekuatan untuk berhijrah dengan memulihkan ekonomi sendiri.

Tiada orang lain yang mampu berbuat demikian kecuali kita sendiri. Sudah tiba masanya umat Islam menyokong produk milik usahawan Muslim bagi membantu menaikkan semula ekonomi Islam.

Benar, ada antara barangan keluaran umat Islam yang harganya agak tinggi tetapi itu bukan alasan untuk tidak menyokong produk mereka. Mungkin terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan harga barangan tersebut terpaksa ditetapkan sebegitu.

Walhal, kita pun tahu siapakah yang menguasai segala rantaian bekalan ini. Jadi sudah tiba masanya kita mengubah keadaan ini.

Kita masih belum terlambat walaupun negara sudah merdeka 63 tahun. Walaupun kita tidak dapat mengubah sepenuhnya pada waktu sekarang, sekurang-kurangnya kita mampu mencipta satu ‘padang’ baharu untuk generasi akan datang bersaing dan menguasai semula kek ekonomi yang sebelum dinikmati oleh orang lain.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here