Jangan jadi ‘modal’ caci maki polis – Asri Janggut

0
1420
Mohd. Asri Hamid (kiri) bersama Nadzim Johan dan Masridzi Sat (kanan) dalam siaran langsung Facebook oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.

RAUDHAH CITY – Dakwaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melindungi aktiviti perjudian dan perniagaan haram di Sungai Buloh tidak sepatutnya dijadikan ‘modal’ untuk orang ramai mencaci maki pihak berkuasa itu.

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid berkata, pendedahannya mengenai penyelewengan itu tidak bertujuan untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi lebih kepada untuk mencari penyelesaian.

“Saya sendiri mulanya tidak sangka perkara ini akan jadi macam ini (tular).

“Akhirnya saya tengok ramai orang guna kesempatan ini untuk mengecam polis sedangkan kita masyarakat patut membantu polis membanteras isu yang ada,” katanya dalam siaran langsung Facebook oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini.

Semalam, Mohd. Asri membuat pendedahan mengenai aktiviti kedai judi dan kedai milik warga asing yang berleluasa di Sungai Buloh melalui video Facebook sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak.

Dia yang dikenali sebagai Asri Janggut berkata, dia tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan pihak berkuasa tetapi cuma bertindak atas layanan yang tidak adil.

“Saya rasa terkilan sebab kami peniaga mematuhi waktu operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan sehingga 10 malam.

“Tetapi kedai-kedai mesin judi yang ada di ‘lorong-lorong belakang’ bebas beroperasi sehingga 1 pagi,” katanya.

Asri berkata, sebelum membuat pendedahan melalui video itu, dia sudah berkali-kali membuat aduan termasuk di Bukit Aman dan Jabatan Integriti PDRM.

“Saya buat laporan kepada polis, kira-kira tiga bulan lalu dengan menghantar gambar dan video. Selepas tutup dua hari, kemudian kedai-kedai judi itu beroperasi semula.

“Lebih menyedihkan apabila ada tauke kedai yang tahu maklumat saya sebagai pengadu,” katanya.

Sehubungan itu, Asri berharap isu itu dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa dengan penguatkuasaan secara adil tanpa memihak kepada sesiapa.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau Tokki berkata, maklumat melalui pendedahan yang dibuat Asri sebagai orang awam wajar diambil tindakan untuk membetulkan keadaan.

“Ini adalah masa terbaik untuk bertindak, saya harap Ketua Polis Negara dapat bertindak.

“Kita tidak boleh menghina polis sedemikian rupa (sosial media) sebab ramai anggota polis yang baik tetapi disebabkan yang sedikit ia jadi huru hara,” kata dalam siaran yang mendapat kira-kira setengah juta tontonan itu.

Dalam pada itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perjudian boleh membuat laporan kepada PPIM di talian 019-359 1000.

Naib Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Masridzi Sat menyifatkan masalah rasuah dalam penguatkuasaan di negara ini sebagai keadaan darurat.

“Rasuah sudah menjadi budaya kerana pihak berkuasa terdedah dengan pelbagai pengaruh dan ancaman. Hari ini rakyat telah bersuara dan sudah berhasil.

“Jangan kita biarkan golongan pengadu macam Asri dikenakan tindakan, kerana berani membuat pendedahan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here