JPJ kutip lebih RM3.85 juta bayaran saman

0
112

CYBERJAYA- Sehingga 15 Ogos lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip bayaran saman lebih RM3.85 juta melalui pelbagai saluran jabatan itu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, saluran itu meliputi JPJ Mobile, portal dan kiosk yang membabitkan transaksi 51,178 saman.

Beliau berkata, berdasar statistik semasa JPJ Selangor berjaya mengutip jumlah tertinggi iaitu dengan sebanyak RM620,157 menerusi 8,165 saman.

“JPJ ketika ini sedang melaksanakan kempen pengurangan saman sebanyak 70 peratus, bermula 1 hingga 31 Ogos.

“Tempoh pengurangan ini tidak akan dilanjutkan dan selepas 1 September kadar saman adalah kekal seperti biasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, saman yang tidak dibayar akan disenaraihitamkan akan mendatangkan masalah dalam urusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor, proses tukar hak milik dan sebagainya.

Katanya, setakat ini sebanyak 1,794,700 saman sudah disenarai hitam.

“Ketika ini sebanyak 2.4 juta saman dengan anggaran kutipan selepas pengurangan berjumlah RM170 juta, masih tertunggak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shaharuddin berkata, JPJ sudah membuka satu pejabat khas di Meru Perak sebagai Unit Penguatkuasaan Lebuh Raya (UPLR) bermula bulan lalu.

“Unit itu memberi fokus kepada penguatkuasaan di lebuh raya, khusus Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Pantai Timur, namun pejabat cawangan ada di beberapa negeri termasuk di Johor, Selangor, Perak dan Terengganu.

“Kita juga sedang berunding dengan pihak PLUS untuk memasang kamera di kedua-dua hala sebelum dan selepas Terowong Menora kerana kawasan itu kerap berlaku kemalangan dengan had laju ditetapkan di kawasan terbabit,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here