Keluarga mangsa mahu hukuman berat ke atas pengganas masjid Christchurch

0
152

CHRISTCHURCH – Isteri kepada mangsa yang maut dalam serangan masjid Christchurch mahu hukuman yang lebih berat kepada penyerang insiden itu, Brenton Tarrant.

Wanita berkenaan, Ambreen Naeem berkata, pengganas yang menembak mati 51 orang jemaah di dua buah masjid pada tahun lalu itu wajar dikenakan hukuman maksimum dan setimpal.

“Jenayah yang telah dilakukannya adalah sesuatu yang tidak dapat ditebus, jadi hukuman yang selayaknya adalah yang berterusan selama-lamanya,” katanya di sebuah mahkamah di Christchurch.

Dalam kejadian tragis itu, Ambreen kehilangan suami dan anaknya.

Kenyataan itu dibuat berikutan pengumuman hukuman yang akan diputuskan oleh hakim Cameron Mander pada Khamis ini.

Sementara itu, ahli keluarga yang kehilangan anak lelaki, Noraini Milne berkata, apa sahaja hukuman yang diputuskan, tidak akan setimpal dengan jenayah yang telah dilakukan Tarrant.

“Bagi saya kamu pun lama mati,” katanya.

Pengakuannya itu dibuat di tengah-tengah emosi dalam kalangan komuniti Muslim New Zealand yang berhadapan dengan lelaki tersebut di mahkamah.

Tarrant, 29, warga Australia mengaku salah terhadap 51 tuduhan pembunuhan, 40 percubaan membunuh dan satu dakwaan keganasan berhubung perbuatannya melakukan serangan di dua buah masjid di Christchurch pada 15 Mac tahun lalu.

Dia dijangka dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol di New Zealand.

Lebih 60 orang akan memberikan keterangan sebelum dia yang tidak diwakili mana-mana peguam dibenarkan bercakap di mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here